Ahad, Julai 31, 2016

Ajam's Diary: Perginya seorang nenek



Ini bukan cereka pendek. Catatan ini juga bukan fiksyen. Ia adalah coretan rasa hati seorang cucu yang baru kehilangan nenek.

Aku kenal nenek sedari aku mula mengenal dunia. Perpisahan emak dan ayah ketika umur bayiku menjadikan rumah nenek sebagai tempatku berteduh. 

Nenek yang kukenali adalah seorang wanita gigih, cekal dan banyak bekorban untuk keluarga. Nenek membesarkan 7 orang anak-anaknya seorang diri. Suami pertama nenek meninggal dunia ketika emak (anak ke 3 nenek) masih bayi. Manakala jodoh dengan suami kedua pula hanya bertahan sehingga 4 orang anak. Tinggalah nenek seorang diri membanting tulang untuk membesarkan anak-anak.

Bila emak bercerai dan pulang ke kampung. Nenek terpaksa menjaga aku pula. Setakat yang boleh aku ingat, nenekla yang selalu menjaga aku di rumah apabila emak pergi bekerja. Biasanya aku ikut nenek masuk kebun kutip pelepah kelapa untuk dibuat lidi penyapu. Nenek juga tukang kupas kulit buah seperti rambutan, mata kucing, manggis etc sehingga aku jadi tak pandai kupas sendiri.

Bila kami berpindah rumah di Sungai Kajang. Nenek banyak tanam sayur sekeliling rumah. Rumah besar aku panggil. Ini kerana rumah tu ada 4 buah bilik. Kawasan halan yang luas dan sebuah stor yang besar. Rumah itu asalnya adalah rumah kerajaan yang digunakan sebagai klinik kesihatan tetapi dek kerana dah lama terbiar maka ADUN pada masa itu beri nenek duduk menumpang. Aku masih ingat jerih perih nenek pergi merayu pada beliau kerana pada waktu itu kami betul-betul tiada tempat berteduh selepas diusir oleh tuan tanah akibat perbalahan keluarga.

Di rumah besar, kami sama-sama kutip sayur, ikat dan bawa ke pasar untuk jualan. Nenek juga bekerja di pasar malam, warung makan sebagai tukang masak. Jadi saban hari aku ikut nenek di pasar malam. Semua orang kenal aku, kalau setakat makan just ambil je apa yang aku nak sebab nanti nenek akan bayar. Tiap minggu nenek belikan aku mainan dari pasar minggu. Mainan mahal! Semua yang ada bateri. Ntah berapa lama nenek kumpul duit. Sebab dia tahu aku nak mainan tu.

Kemudian nenek berniaga jajan di depan sekolah rendah aku. Maka senang sikit nenek cari rezeki sebab tak perlu pergi mana-mana. Pak Ngah beli rumah depan sekolah tu dan benarkan nenek serta aku dan emak duduk menumpang. Selain meniaga nenek juga buat kerja kilang dari rumah. Kami ketuk paku pada plastik yang diguna sebagai pengikat wayar elektrik.

Sepanjang hayat aku dan nenek ada banyak peristiwa yang berlaku. Antara yang tidak dapat aku lupakan adalah detik lucu terjatuh dalam parit ketika nenek membawa aku naik basikal ke rumah maklong. Mujur parit tiada air walaupun dalam, jika tidak kami mungkin sudah tiada. Hal kedua bilamana aku begitu inginkan pensil warna magik, 1 sekolah ada maka lumrahnya aku pun nak juga.

Nenek bawa aku naik bus ke Kuala Selangor. Aku hairan sebab di Pekan Tanjong pun ada jual. Sampai Kuala nenek terus menuju ke pajak gadai dan menjual cincin emas nya. Nenek memang tidak suka bergadai kerana dia kata berdosa cina ambil upah lebih..dia tidak tahu perkataan riba' aku kira. Jadi dia hanya akan jual sahaja barang kemasnya pada pajak gadai. Selepas dapat duit nenek terus bawa aku ke kedai alat tulis lalu menyuruh aku memilih pesil warna yang aku mahu. Aku sebagai budak hanya berasa gembira tanpa sedar bahawa nenek tidak punyai wang.

Bukannya emak tidal bekerja atau emak tidak beri wang. Anak-anak nenek juga ada yang bekerja tetapi nenek jenis berdikari. Tidak pernah minta wang anak atau sesiapa pun. Kalau emak belum balik dari kuala lumpur dan wang belanja yang emak beri telah habis maka nenek tidak kisah belanjakan wangnya sendiri untuk aku.

Oh satu lagi sikap nenek, beliau sangat melindungi barangan aku. Beliau tahu aku jenis yang pandai jaga barang. Jadi semua permainan dan komik aku sedari umur berapa pun masih tersimpan rapi. Bila aku dh masuk U dan duduk jauh. Nenek la yang tolong jaga. Saban kali cucu2 lain balik kampung...dia akan layan sama baik macam dia layan aku tetapi jangan usik maianan dan komik ajam haha. Ini kerana bila mereka main benda jadi rosak dan nenek tidak mahu aku sedih.

Aku bersyukur sangat sebab nenek sempat tengok aku berkahwin dan punyai anak. Aku sempat beri cicit pada nenek. Sempat jaga nenek selepas aku beli rumah sendiri. Nenek duduk bersama aku dan emak sampai akhir hayatnya...

Terima kasih nenek. Semoga Allah membalas jasa nenek dengan SyurgaNya.

Al Fatihah 

Tiada ulasan:

Winter Sonata

Annyeonghaseyo, fellow wanderlust enthusiasts! Join me as I take you on a rollercoaster ride through my unforgettable journey to Korea from ...